Piala Shopee: 16 jam yang berbaloi -- kata ketua jurulatih Terengganu, Badrul Afzan
Ammar Hakim
January 9, 2025 17:46 MYT
January 9, 2025 17:46 MYT
'16 jam yang berbaloi', Pengendali Terengganu, Badrul Afzan Razali, tampak mengakui cabaran yang terpaksa ditempuhi anak buahnya jadi kekuatan untuk mencapai kemenangan pertama dalam Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee.
Ia menyaksikan skuad Peteh tampil garang membenam kelab Myanmar, Shan United di tempat lawan semalam.
Perancang tengah, Manuel Ott dan pemain sayap lincah, Akhyar Rashid muncul wira Terengganu apabila masing-masing meledak dua gol, tatkala satu lagi jaringan disumbangkan Safawi Rasid.
Kemenangan itu membolehkan Terengganu meraih empat mata selepas tiga perlawanan, dengan dua perlawanan pertama menyaksikan Terengganu kalah dan terikat.
Aksi seterusnya bertemu PSM Makassar dan BG Pathum United menjadi misi wajib menang buat Terengganu untuk mara ke separuh akhir, namun Badrul mengambil pendekatan untuk fokus satu demi satu perlawanan.
Apatah lagi mereka akan merintis ranjau berliku bertemu Johor Darul Ta'zim sebanyak tiga kali dalam masa 16 hari untuk aksi separuh akhir Piala Malaysia dan Liga Super.