Tiada pemain dari England -- TMJ
January 11, 2025 20:51 MYT
Majoriti pemain warisan baharu skuad negara bukan calang-calang dan ketika ini sedang beraksi di liga teratas Eropah.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkata, rata-rata pemain warisan yang dikenal pasti itu dari Eropah Selatan selain memaklumkan tiada pemain warisan dari England.
"(Pemain warisan tersebut bermain di posisi) pertahanan tengah, pertahanan kiri, penyerang, pemain tengah, pemain tengah menyerang dan sayap kiri.
"Majoriti bermain di liga teratas di Eropah. Tiada pemain dari England dan kebanyakan dari Eropah Selatan," kata Tunku Mahkota Ismail dalam laman X milik baginda.
Negara-negara di Eropah Selatan merangkumi Albania, Andorra, Bosnia - Herzegovina, Croatia, Greece, Itali, Malta, Montenegro, Macedonia Utara, Portugal, San Marino, Serbia, Slovenia, Sepanyol dan Vatican.
Center back, left back, striker, center mid and attacking mid, left wing. Majority playing in top league di europe. No one from England. Mostly Southern Europe.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) January 11, 2025
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Bagaimanapun, Tunku Mahkota Ismail belum mendedahkan senarai nama para pemain itu.
Sebelum ini, baginda dalam satu hantaran di laman media sosial menjelaskan sekurang-kurangnya tujuh pemain warisan telah dikenal pasti dan boleh memperkuatkan Harimau Malaya.
Baginda yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) turut mengharapkan kerajaan dapat membantu dalam urusan pasport bagi membolehkan kesemua pemain itu mewakili negara pada Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac ini.
Pencarian pemain warisan untuk mewakili negara itu dibuat sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan dan revolusi Harimau Malaya yang sedang rancak berlaku ketika ini.
Kredit -- Sinar Harian